Thursday, March 5, 2015

Info: Harga Hartanah 2015 Dijangka Akan Naik





KUALA LUMPUR 1 Feb. - Harga hartanah masih menunjukkan peningkatan ketara di negara ini pada 2014 berbanding 2013, tidak setanding dengan kos sara hidup yang tinggi walaupun kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk langkah penyejukan pasaran, menurut kajian penyelidikan Rahim&Co. Chartered Surveyors Sdn. Bhd. (Rahim&Co).

Pengerusi Eksekutif Rahim & Co, Senator Tan Sri Abdul Rahim Rahman berkata, bagi sektor kediaman, jumlah urus niaga hartanah adalah paling banyak berada pada paras harga RM400,000 ke atas iaitu 27.2 peratus daripada keseluruhan transaksi hartanah kediaman pada separuh tahun pertama 2014 berbanding 16.8 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Katanya, pengagihan transaksi kediaman mengikut julat harga menunjukkan perubahan ketara bagi julat harga RM400,000 sehingga RM1 juta dengan jumlah transaksi berbanding jumlah transaksi keseluruhan mencecah 23 peratus pada separuh tahun pertama 2014 berbanding 13.4 peratus pada separuh tahun pertama 2013.

Julat harga ini menunjukkan pertumbuhan bilangan transaksi yang paling tinggi, justeru membantu menaikkan purata harga rumah di negara ini.

“Peningkatan jumlah transaksi sektor kediaman di seluruh negara bagi separuh tahun pertama 2014 adalah berjumlah 2,783 unit berbanding dengan separuh tahun pertama sebelumnya dengan pertumbuhan sebanyak 2.3 peratus,” kata Abdul Rahim dalam Laporan Penyelidikan Rahim&Co - Penilaian Pasaran Hartanah 2014/2015 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Tambah Abdul Rahim, negeri-negeri yang mencatatkan peningkatan ketara bagi sektor kediaman adalah Negeri Sembilan dengan peningkatan 32.8 peratus, Johor (+18.7 peratus) dan Perak meningkat sebanyak 7.6 peratus.

Katanya, Negeri Sembilan mendapat manfaat daripada limpahan kesan kenaikan harga rumah di Selangor dan juga jaringan lebuhraya dan infrastruktur yang kukuh menerusi Projek Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas),

Johor pula beroleh manfaat daripada gembar-gembur pasaran hartanah yang bermula dua tahun lalu.

Negeri-negeri yang mengalami penurunan dalam sektor kediaman adalah Kedah dengan penurunan sebanyak 28.3 peratus, Selangor (-6.5 peratus) dan Kelantan, menyusut sebanyak 17 peratus.

Empat negeri direkodkan firma penyelidikan Rahim&Co sebagai negeri-negeri yang mempunyai kemampuan paling rendah untuk memiliki kediaman teres mampu milik pada 2014 iaitu Sabah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sarawak, kata Abdul Rahim.

Malah, kajian firma itu mendapati indeks kemampuan perumahan merudum pada tahun 2014 berbanding 2009,

Nisbah purata harga rumah teres berbanding purata pendapatan isi rumah tahunan menunjukkan kenaikan daripada 3.4 kepada 3.6.

“Ini bermaksud secara purata, harga sebuah rumah teres bersamaan jumlah pendapatan tahunan selama 3.6 tahun,” kata Abdul Rahim.


- See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekon....wp0bhFVw.dpuf

0 comments:

Post a Comment